Wednesday 2 September 2015

KEJATUHAN KESULTANAN MELAYU MELAKA


 PENDAHULUAN 

     Melaka merupakan sebuah nama yang penuh dengan nilai sejarah dan
perjalanan yang berliku  dalam tamadun dunia. Bermula dengan kehadiran putera raja dari Palembang iaitu Parameswara yang terlibat di dalam peperangan merebut takhta kerajaan Majapahit pada akhir abad ke-14, melarikan diri setelah ditumpaskan lalu mencari perlindungan di Temasik yang pada ketika itu dikuasai oleh Siam. Setelah diusir oleh Siam pada tahun 1396, beliau dan pengikut-pengikutnya melarikan diri ke Muar dan kemudian ke Sungai Ujong sebelum singgah ke Bertam  berdekatan dengan muara sungai Melaka.

     Melalui peristiwa pelanduk putih dan anjing perburuan baginda semasa
berehat di bawah pohon yang diberi nama Melaka itu, nama Melaka amat
bertepatan dengan tempatnya yang strategik . Lokasi yang berada di tengah-tengah tebing Selat Melaka, menjadi pusat perhubungan perdagangan di antara negara China ke India dan Timur. Kehadiran pedagang-pedagang Arab serta pedagang Timur dan Barat telah menjadikan Melaka sebuah pelabuhan entrepot yang begitu sibuk dengan kehadiran kapal-kapal yang singgah setiap tahun. Apabila baginda memeluk agama Islam pada tahun 1414, melalui seorang ulama dari Jeddah menjadikan Melaka asas kemajuan pengembangan agama Islam dan pusat perdagangan tersohor di rantau ini.

     Dari semasa ke semasa Melaka terus berkembang sebagai pusat perdagangan Melayu Timur dimana pelbagai barangan boleh didapati seperti sutera dan porselin dari China,kain dari Gujerat serta Ceromandel di India, kapur barus yang datang dari Borneo,cendana dari Timor, buah pala dan cengkih hasil dari Malucas. Sumatera pula membawa hasil dagangnya seperti emas dan lada hitam manakala Tanah Melayu dengan timahnya yang terkenal. Kehadiran Sultan Melaka ke China juga, menguatkan lagi kekuatan politik, ekonomi dan sosial daripada ancaman luar seperti Siam. Pemimpin-pemimpin Melaka pada abad ke-15 telah dikatakan berjaya meletakkan Melaka sebagai sebuah kota kosmopolitan yang teragung di dunia. Keagungan Melaka telah menarik minat kuasa-kuasa Eropah. Mereka ingin memiliki Melaka.Dengan memiliki Melaka mereka akan berjaya mengawal perdagangan laut di Eropah dan mengaut keuntungan yang banyak. Yang paling penting, Melaka merupakan satu kebanggaan yang harus dimiliki. Dan akhirnya, lima setengah abad Melaka dijajah merupakan suatu trajedi dalam episod sejarah Melaka.



   
                                     




Faktor-faktor yang menyumbang kejatuhan Kesultanan Melaka
Kejatuhan kesultanan Melaka dapat digarap daripada dua faktor yakni faktor dalaman dan faktor luaran. Kedua-dua faktor tersebut memberi kesan yang mendalam sehingga penjajahan Eropah yang membawa kebinasaan dan kehancuran Melaka.


 FAKTOR DALAMAN 

– Sistem pemerintahan yang lemah
Sistem pemerintahan yang lemah semasa pemerintahan Kesultanan Melaka
merupakan faktor yang pertama dilihat menjurus kepada kejatuhan Melaka.
Sultan Mahmud (1488-1511)pengganti kepada ayahndanya Sultan Allauddin
(1477-1488) tidak mampu  memberi tumpuan kepada pentadbiran negeri dan gagal mengawal tindakan pembesar-pembesarnya yang lebih berkuasa terhadap rakyatnya. Ketokohan Sultan Allaudin yang dikenali sebagai seorang yang perkasa , tegas ,alim , berani dan adil tidak mampu diwarisi oleh Sultan Mahmud yang zalim, suka berfoya-foya  dan berpelesaran , leka dengan ilmu agama sehingga mengabaikan pentadbiran , tidak adil dan kurang bertimbangrasa.

 – Pengganti bendahara yang tidak berwibawa
Bendahara-bendahara yang mengganti Tun Perak tidak mempunyai ketokohan
sehebat beliau. Adiknya Tun Perpatih Putih adalah orang yang boros dan anak
saudaranya Tun Mutahir cenderung mencari laba dan kekayaan sebanyak
yang mampu lalu memperagakan kekayaan dan kedudukan beliau tanpa segan silu. Kekayaan dan kesejahteraan yang melimpah-ruah telah menyebabkan kepimpinan leka dan lemah serta mengabaikan negara.

– Perbalahan pembesar-pembesar Istana
Pembesar-pembesar kembali berpuak-puak, bukan sahaja puak melayu dan India Muslim, malah puak tua (berpihak kepada Sultan Mahmud) dan puak muda (bersama Sultan Ahmad Syah). Perpecahan begini melemahkan kaum bangsawan sebagai pentadbiran dan pemimpin negara.

– Kelemahan kuasa tentera
Pasukan militer menjadi semakin lemah dengan kehilangan tokoh-tokoh seperti
Hang Tuah dan Hamzah Datuk Bongkok. Tun Mat Paduka Tuan yang menggantikan Tun Mutahir (setelah ia dibunuh) sudah tua dan tepok . Beliau tidak berkuasa meningkatkan tenaga tentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

 – Cukai yang tinggi
Para pedagang dan saudagar pula semakin dikenakan cukai yang berlebihan .
Suasana ini kurang disenangi oleh mereka. Pedagang dan saudagar-saudagar
ini berpaling arah mencari pelabuhan lain seperti Acheh, Bantam, Patani dan
Brunei yang lebih murah cukainya. Pembesarpembesar tidak lagi turut berdagang tetapi meninggalkannya untuk menyandang jawatan-jawatan di istana.

– Kelemahan dan kucar-kacir di istana
Kelemahan Raja Melaka yang selalu meninggalkan istana kerana berundur diri
menyebabkan ada pihak-pihak berebut inginkan takhta kerajaan. Sikap pembesar seperti  Tun Mutahir yang sombong dan sentiasa berlagak memang tidak menghiraukan kerabat diraja, menjadi salah satu punca perpecahan di istana. Pada suatu ketika , Sultan Mahmud ingin mengahwini anaknya Tun Fatimah yang cantik itu pun tidak dihiraukannya sedangkan ketika itu Sultan Mahmud kematian permaisuri. Fitnah yang menimpa Tun Mutahir dan keluarganya mengakibatkan terhapusnya suatu keluarga yang terkuat dan berpengaruh di Melaka.

– Pemecatan Pembesar yang cekap
Akibat pembunuhan  Bendahara Tun Mutahir , Penghulu Bendahari Tun Tahir dan Temenggung Tun Hasan ,Melaka kehilangan pembesar-pembesar yang cekap dan berpengalaman malah turut terjejas ialah jawatan Laksamana . Jawatan tersebut yang dipegang oleh Laksamana Khawaja Hasan telah dilucutkan kerana menyampaikan fitnah tanpa usul periksa. Ini menyebabkan tiada angkatan laut yang mempertahankan Melaka.

– Semangat Jihad yang lemah
Walaupun agama Islam berpusat dan tersebar di Melaka, namun pegangan agama itu dikalangan pembesar dan penduduknya amat tipis. Mereka kerap
mempersendakan kehadiran ulamau-lama asing. Semangat berjihad 
mempertahankan bumi bertuah itu dan demi agama Islam tidak tertanam kukuh disanubari mereka.

– Tidak setia kepada Raja 
Kerajaan Melaka bukanlah satu unit politik yang teguh tetapi terdiri daripada
gabungan unit-unit politik (negeri-ngeri naungan). Diantara Melaka dan negeri-negeri ini selalu berlaku pertelingkahan atas isu-isu pengangkatan calon ke takhta Melaka atau disebabkan taat setia yang longgar (seperti kes Siak dan Pahang).  Pertalian rapat diantara golongan bangsawan dengan golongan pedagang kurang baik.Ini menyebabkan kurangnya kesetiaan kaum dagang apabila Melaka ditimpa musibah.

– Berpaling tadah
Kezaliman, keangkuhan dan kerendahan moral golongan bangsawan menyebabkan berlakunya pengkhianatan dikalangan masyarakat Jawa, Gujerat dan Cina yang kebanyakannya secara sulit telah menyebelahi Portugis. Mereka membantu memberi bantuan dan laluan kepada pihak Portugis untuk memboloskan diri menyerang Melaka dari luar dan dalam.





 FAKTOR LUARAN 

– Kelemahan Pertahanan dan Senjata
Apabila Portugis hendak diserang , Melaka sebenarnya tidak bersedia
mempertahankanMelaka. Senjata meriam Portugis terlalu kuat bagi tentera
hulubalang Melaka. Portugis mempunyai kapal-kapal perang yang lengkap dan
terbaik pada zaman itu. Saiznya lebih besar dan mempunyai kuasa meriam yang
lebih baik jika dibandingkan dengan saiz kapal negara-negara di Asia.Dilihat
daripada sudut geografinya, Melaka terbahagi dua oleh Sungai Melaka.  Bandarnya tidak memiliki kota samada kota kayu atau batu. Yang mempunyai kota hanyalah Bukit Melaka yang dikelilingi kota kayu atau pagar ruyung. Apabila Portugis berjaya menawan jambatan (merupakan tempat pertahanan utama orang Melaka) separuh perang sudah berpihak kepada Portugis. Selain itu , tidak ada sama sekali angkatan laut Melaka yang menentang Alfonso D'Albuquerque diperairan kerana Laksamana Khawaja Hasan sudah tidak menyandang jawatan Laksamana bagi angkatan Melayu yang menentang Portugis . Selepas itu baru Hang Nadim diangkat menggantikan Khawaja Hasan.


– Tentera Portugis terlatih
Jumlah Soldadu Portugis sejumlah 1,100 orang yang terdiri daripada 800 orang
Portugis dan 300 orang Malabari  merupakan askar-askar yang terlatih,
berdisiplin dan sudah matang dalam cara berperang dengan orang-orang Islam. Semangat mereka sentiasa berkobar-kobar menentang orang-orang Islam kerana diapi - apikan selalu oleh ketua-ketua mereka bahawa perang menentang Islam di Melaka meneruskan semangat crusade (perang salib).


– Dikhianati
Kelemahan Melaka sentiasa diberitahu oleh pihak-pihak yang khianat dan ingin
membantu Portugis. Semasa serangan ke atas jambatan , WangKeng Cina turut
melanggar jambatan itu. Mereka ini adalah orang yang tidak puas hati kerana pernah dianiayai atau tidak mendapat ganjaran daripada pembesar Melaka.


– Menuntut Bela
Hasrat D'Albaquerque ingin menuntut bela dan melepaskan orang tawanan bangsa Portugis amat membara. Orang-orang tawanan ini adalah pengikut De Sequiera yang mula-mula mengunjungi Melaka dalam tahun 1509. Walaupun pelbagai syarat diberikan untuk membebaskan tawanan tersebut, namun tujuan asal D'Albaquerque ialah ingin menakluki Melaka jauh sekali untuk berdamai.


– Prinsip perjuangan Portugis
Portugis berjuang berasaskan 4 prinsip :-
i) Gosel  – yakni Kitab Injil dimana perjuangan kerja-kerja dakwah bagi
                mengembangkan agama Roman Katolik mereka ke pelusuk dunia.
ii) Glory  – yakni perjuangan demi memartabatkan kecemerlangan buat Raja dan                  Portugal
iii ) Gold  – yakni hasrat ingin mendapatkan emas dan memperolehi harta                               rampasan

Dengan prinsip-prinsip ini mereka begitu bersemangat dan berusaha
bersungguh-sungguh menakluki mana-mana benua yang dijelajahi .




 KESIMPULAN 
Sejarah telah mengajar kita erti pengorbanan pejuang-pejuang silam. Sejarah juga mengajar bagaimana menjadikan kita bersatu dan kekal harmoni dalam kelompok yang berbeda budaya, kepercayaan dan keturunan. Ketiga-tiga aspek di atas sangat mempengaruhi kestabilan dan keutuhan sesebuah negara. Marilah kita bersatu - padu memelihara keharmonian dan kesejahteraan negara yang kita nikmati sekarang. Bersatu kita teguh,bercerai kita roboh.Sejarah yang pahit itu,kita jadikan sempadan untuk membina negara bangsa yang penuh dengan warisan dan kaya budayanya.

 PENGAJARAN 
– Dilihat dari aspek politik
Betapa nilai perpaduan antara pemimpin pemerintah dan rakyat jelata amat penting. Apabila pemerintah mampu memikul amanah membela rakyat , tidak mementingkan diri sendiri ,berintegriti , bertanggungjawab , berwibawa, bijak, tegas dan tidak mengamalkan rasuah maka negara akan sentiasa aman dan dipandang tinggi orang luar. Pemimpin-pemimpin yang telah dipilih haruslah menjalankan tanggungjawab sebaik mungkin dan sedia berkhidmat untuk negara dan bangsa. Inilah faktor-faktor yang tidak diambil berat oleh Pemerintah di zaman kesultanan Melaka. Tampuk pemerintahan sesebuah negara haruslah kuat,mempunyai hubungan yangbaik di antara sesama pemimpin dan rakyat jelata.Para pemimpin juga harus menolak kepentingan peribadi demitugas dan tanggungjawab kepada negara. Amalan rasuah perlu dihapuskan kerana ia akan melumpuhkan seluruh jenter pentadbiran negara. Sikap adil dan saksama juga harus ada. Sebagai rakyat,kita juga mempunyai tanggungjawab dalam menentukan kesatabilan politik negara kita. Kita harus menghormati dan taat kepada pemimpin kita. Jangan mudah melatah, jika ada dasar-dasar kerajaan yang kita tidak persetujui dengan cara mogok atau demonstrasi.Segala permasalahan perlu diselesaikan secara aman melalui perbincangan yang rasional.Sesuai dengan slogan Perdana Menteri kita,Datuk Seri Najib bin Tun Razak,"Rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan,"kita dengan penuh
keyakinan percaya bahawa peristiwa kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka tidak
akan berulang.


 – Dilihat dari aspek Ekonomi
Kekayaan dan kesenangan yang melimpah ruah yang dinikmati pembesar-pembesar Melaka menjadikan mereka leka dan berlumba-lumba mengikis harta negara. Pengajaran daripada peristiwa itu, kita tidak harus leka dengan hasil mahsyul negara dan berlumba-lumba memunggah harta kekayaan negara demi kepentingan diri sendiri. Pemimpin-pemimpin negara perlu bijak menyalurkan hasil negara untuk dinikmati semua rakyat jelata. Pembangunan negara dan kemudahan infrastruktur dapat dinikmati bersama. Tidak harus kekayaan dimonopoli oleh seseorang individu, sesuatu kaum atau koloni-koloni tertentu sahaja.Ekonomi akan bertambah kukuh dan jauh daripada perasaan tidak puas hati , dendam dan dengki semua pihak.


– Dilihat dari aspek Sosial
Sikap saling hormatmenghormati harus ditanamkan di dalam diri setiap masyarakat yang hidup dalam pelbagai kaum dan agama. Jika timbul prasangka yang berbentuk fitnah dan provokasi , maka akan membuakkan perasaan marah dan dendam pihak yang tidak berpuashati. Sikap kurang senang orang-orang melayu dengan India-Muslim, dan permusuhan orang-orang cina dengan penduduk tempatan Melaka menjadi perpecahan di dalam negeri itu sendiri sehingga memudahkan pihak Portugis menguasai minda pihak yang kurang puas hati membantu mereka melumpuhkan lagi pentadbiran negara. Ini sepatutnya menjadi cermin generasi kita hari ini. Setiap kaum harus menghormati adat resam kaum-kaum yang lain dan menjauhkan  rasa prejudis dan saling mengekalkan keharmonian negara ini.Setiap rakyat perlu menanam dalam jiwa perasaan taat setia terhadap raja dan negara ataupun pemerintah. Tanpa sokongan rakyat , sehebat manapun tokoh ata pemerintah itu, akan goyah dan punah juga akhirnya. Semangat patriotisme di dalam masyarakat amat diperlukan meskipun hidup dalam budaya dan agama yang berbeda. Di dalam negara kita, prinsip rukun negara menjadi wadah perpaduan sepanjang zaman. Menghargai perjuangan dan pengorbanan pemimpin terdahulu  amat dituntut daripada generasi kini dan akan datang.




 RUJUKAN 
  • Bibliografi : Liang Liji, (1996). Hubungan Empayar MELAKA-DINASTI MING Abad ke-15. Kuala Lumpur : Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia Bangi.                                                                                                                                        
                   
                                                                                                             
  • A.Samad Ahmad, (1979). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka.                                                                                                                                                                                                                            
  • MALAYSIA KITA, (2007). Panduan dan Rujukan Untuk Peperiksaan Am Kerajaan. Kuala Lumpur :  International Low Book Services.                                                                                                                                                    
  • INTAN , (1991). Malaysia Kita . Kuala Lumpur : Institut Tadbiran Awam Malaysia.                                                                                                                                                                                                                                               
  • Zahari Rashid, (2008). Kenang-kenangan Abdullah Munsyi.  Selangor Darul Ehsan : ibsBUKU Sdn. Bhd.

4 comments: